mutakhir

Pusat belia taraf antarabangsa RM45 juta dibina di Bertam [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Sebuah pusat belia dilengkapi stadium mini bertaraf antarabangsa bernilai RM45 juta akan dibina di kawasan Paya Keladi, di sini dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, majlis pecah tanah pembinaan pusat belia itu dijadualkan pada tahun ini selepas peruntukannya diluluskan dan kini di peringkat Kementerian Kewangan.

Katanya, pembinaan pusat belia berkenaan adalah satu usaha yang dirangkanya ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

"Pada masa itu, saya mahu bawa banyak acara untuk belia dan pembangunan sukan di kawasan ini. Dengan penaiktarafan stadium hoki dan padang sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Kadir, kini sebuah pusat belia akan dibina dengan kos bernilai RM45 juta yang ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Santai Anak Muda dan merasmikan Esport Youth Cabin berhampiran Wisma Umno Kepala Batas di sini, malam tadi.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pusat belia itu akan dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar yang lengkap dengan kemudahan untuk aktiviti riadah dan sukan.

"Pusat itu akan mempunyai sebuah mini stadium yang moden yang dilengkapi lampu limpah, padang sintetik dan ada trek. Padang biasa pula untuk latihan balapan dan ada juga arena tertutup untuk sukan-sukan seperti bola keranjang dan badminton.

"Selain itu, ciri terpentingnya ialah ada arena 'e-sport' (sukan elektronik) yang mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa yang jika ada sebarang kejohanan di Pulau Pinang ini di peringkat antarabangsa, maka boleh dianjurkan di pusat belia ini," katanya.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, sebuah penginapan atau asrama bercirikan kabin yang dilengkapi dengan kafe 'hipster' juga akan dibina di pusat belia berkenaan.

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 12:36pm
d