mutakhir

Penerbitan buku hikayat Melayu perlu diperkasakan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Penerbitan buku hikayat Melayu perlu terus diperkasakan agar generasi muda lebih menghargai kisah kehidupan dilalui generasi terdahulu.

Penulis buku Lipur Lara Alam Melayu, Ninot Aziz berkata, dia menghasilkan buku mengenai hikayat Melayu atas rasa tanggungjawab untuk berkongsi kisah hidup Melayu di Nusantara.

Menurutnya, idea itu juga tercetus selepas melihat anaknya lebih cenderung membaca hikayat Barat.

"Saya menulis untuk memastikan anak dan generasi muda menghargai kisah hidup dilalui bangsa Melayu sejak berzaman lamanya.

"Dalam menghasilkan buku, kajian dilakukan bagi memastikan kisah itu kelak tepat dan selari dengan apa yang ingin disampaikan kepada pembaca," katanya dalam Program 'Meet & Greet' penulis buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, dua lagi penulis, Aliff Mustafa dan Awan Wafdan turut berkongsi pandangan dan kisah di sebalik penghasilan novel mereka.

Sementara itu, Pensyarah dan Penterjemah Profesional Dr Raja Rajeswari Seetha Raman berkata, bahasa kebangsaan dalam industri kreatif dan penterjemahan karya tempatan perlu dimartabatkan seiring dengan kepesatan industri.

Katanya, hasrat itu boleh diteraju bersama Persatuan Penterjemah Malaysia dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM).

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 6:11pm
d