mutakhir

Jubin retak sebabkan kekecohan di Harbour Mall Sandakan

Oleh BERNAMA

Sandakan: Bunyi kuat jubin retak di sebuah lot kedai di Harbour Mall di sini menyebabkan orang ramai berlari keluar kerana menyangkakan bangunan itu akan runtuh.

Susulan video kejadian itu yang tular, pihak pengurusan bangunan pusat beli-belah itu menerusi kenyataan menyangkal dakwaan bahawa bangunan itu runtuh, namun mengakui terdapat bunyi kuat daripada tingkat empat premis itu.

"Ya, terdapat bunyi kuat daripada tingkat empat. Ia berpunca daripada satu bahagian kecil jubin lantai yang retak pagi ini.

"Kami memberi jaminan bahawa bangunan pusat beli-belah kami adalah dalam keadaan kukuh dan tiada isu struktur seperti yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan Harbour Mall meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak mempercayai serta menyebar berita palsu tanpa mengesahkan kebenarannya.

Sementara itu, unit penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sandakan telah membuat pemeriksaan ke atas bangunan itu dan hanya menemui beberapa jubin retak dalam sebuah lot kedai.

Disiarkan pada: June 12, 2022 @ 9:46pm
d