mutakhir

'Tiada guna menangis kenang tragedi'

Oleh Natrah Laili Abdul Aziz dan Anis Syuhada Mohd Rosli

Kuala Lumpur: Walaupun pahit untuk menerima kenyataan kehilangan tangan kanan, peniaga dalam talian Siti Nur Azizah Syafriadi, 18, perlu tabah menjalani kehidupan demi keluarga tersayang.

Siti Nur Azizah berkata, dia kini menjalankan perniagaan barangan kosmetik dalam talian dengan bantuan ibunya Roslinawati Ya, 39, sebagai salah satu sumber pendapatan keluarganya.

"Sejujurnya, saya cuba untuk kembali gembira seperti dahulu walaupun tragedi pada 26 Ogos tahun lalu masih tebal dalam ingatan.

"Saya belum memaafkan pelaku yang membuatkan saya kehilangan tangan kanan, namun saya cuba untuk tidak memikirkannya lagi kerana tiada guna untuk menangis kerana ia sudah terjadi.

"Sebelum ini, saya juga tidak pernah menangis mengenangkan tragedi itu, tetapi hanya menangis disebabkan kesakitan di bahagian kecederaan," katanya.

Siti Nur Azizah berkata demikian selepas menerima kunjungan wakil Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR), Johan Rozali-Wathooth di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas kisahnya disiarkan di akhbar Harian Metro pada 8 Mei lalu, dia menerima panggilan daripada beberapa pihak yang ingin membantu dalam pelajaran dan kewangan.

"Ada beberapa pihak yang datang dan bincang bersama ibu bagaimana mereka boleh membantu saya meningkatkan kemahiran berniaga.

"Selain itu, sekarang saya fokus untuk membantu keluarga supaya dapat sumber hasil pendapatan usaha saya sendiri," katanya.

Sementara itu, Johan berkata, pihaknya tergerak hati mahu membantu keluarga Siti Nur Azizah selepas mendengar kisahnya daripada salah seorang penerima biasiswa YTAR.

"Azizah adalah seorang remaja yang cekal dalam menghadapi cabaran hidup selepas kemalangan yang menimpa dirinya.

"Saya berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu Azizah dalam mencetus minatnya dalam bidang keusahawan kecil," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tangan kanan Siti Nur Azizah terpaksa dipotong hingga paras bahu susulan kecederaan dalam kemalangan bersama teman lelakinya, tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam, motosikal Yamaha Y15ZR yang dinaiki mereka ditendang penyamun di Jalan Kuching, di sini, menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Disiarkan pada: June 14, 2022 @ 9:06pm
d