mutakhir

Kes lama lah...

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan berlaku kejadian feri penumpang terbakar di perairan Langkawi, semalam.

Terdahulu. tular gambar dan video sebuah feri terbakar dengan puluhan penumpang sedang dipindahkan ke bot lain menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata video terbabit adalah kes pada 2019, ditularkan semula.

"Syarikat pengendali feri di mana video dan gambar yang ditularkan itu juga tidak lagi beroperasi ketika ini.

"Video itu sengaja ditularkan semula di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan daripada tindakannya itu terhadap masyarakat terutamanya pemain industri pelancongan di Langkawi," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Justeru, Romli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau di talian kecemasan MERS 999," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 8:08am
d