mutakhir

Berbaloi tutup media sosial

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Menutup media sosial dan mengorbankan waktu remaja dengan belajar tanpa henti antara pengorbanan yang dilakukan pelajar ini demi mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Namun semua penat lelah belajar sejak Tahun 6 berbaloi apabila A Shrreya, 18, dinobatkan antara pelajar cemerlang di Selangor apabila memperoleh gred cemerlang tinggi iaitu 10A+.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman itu berkata, sejak berusia 12 tahun dia mengorbankan masa mudanya dengan belajar tanpa henti demi mengejar cita-cita.

"Sebaik angka giliran saya diumumkan sebagai pelajar terbaik, saya betul-betul terkejut dan tidak menyangka sejauh ini pencapaian diperolehi.

"Namun, pastinya pengorbanan ini berbaloi apabila saya melepaskan banyak hiburan dalam hidup antaranya media sosial, bercuti, menonton televisyen dan keluar dengan rakan lain," katanya ketika ditemui dalam pengumuman keputusan SPM oleh Pengarah Pendidikan Selangor, Rohayati Abd Hamed di sekolah berkenaan, hari ini.

Anak kepada pekerja swasta dan guru itu berkata, belajar menerusi hibrid ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga antara cabaran yang perlu dilalui oleh semua calon SPM tahun lalu.

"Belajar secara dalam talian berbeza dengan bersemuka. Jika dulu tidak faham, kita terus berjumpa guru untuk bertanyakan soalan.

"Namun saya bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan sangat luar biasa seperti guru, guru tuisyen, keluarga dan rakan yang begitu memahami betapa saya suka belajar," katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor gigi.

Sementara itu, pelajar cemerlang yang memperoleh 11A, Tiew Jia Jia, 18, berkata, dia tidak menyangka keputusan diperoleh hari ini melebihi jangkaan apabila ketika peperiksaan percubaan hanya mendapat 8A.

"Saya tidak sangka dan teruja apabila nama saya diumumkan memperoleh 11A.

"Namun, saya akui belajar menerusi dalam talian sangat mencabar buat kami. Namun disiplin yang tinggi perlu supaya kita sentiasa berada atas landasan yang betul dan fokus belajar," katanya.

Tiew berkata, bapanya bekerja sebagai juruteknik pendawaian manakala ibunya suri rumah menjadi inspirasi dan sokongan buat dirinya yang juga anak tunggal.

"Saya berharap dapat menyambung pelajaran di Singapura dan mencapai cita-cita selepas bertungkus lumus belajar," katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang sekolah sama, Alyssa Zyra Mohd Zailan, 18, yang memperoleh 9A, melalui pengalaman disahkan positif Covid-19 ketika peperiksaan SPM berlangsung.

"Saya ketinggalan tiga kertas ketika itu dan terpaksa berusaha dengan lebih gigih untuk menduduki semula kertas yang tertinggal.

"Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu, namun saya tidak mahu berputus asa dan cuba berusaha lebih gigih.

"Alhamdulillah akhirnya usaha ini berbaloi dan dapat menyambung pelajaran untuk menjadi peguam," katanya.

Anak kepada jurutera dan suri rumah itu berkata, dia sentiasa memotivasikan diri untuk menjadi sebahagian pelajar 'naik ke atas pentas' dan tidak mahu mensia-siakan pendidikan lima tahun di sekolah menengah.

Sementara itu, Rohayati berkata, 53 calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya memperoleh gred cemerlang tinggi (A+) bagi semua mata pelajaran daripada 1,803 orang .

"Jumlah calon SPM di Selangor yang layak mendapat sijil adalah seramai 55,626 calon berbanding 54,746 calon tahun 2020.

"Peratus calon yang layak mendapat sijil bagi SPM 2021 meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 1:47pm
d