mutakhir

Lelaki pukul jiran kena dakwa [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan jirannya dengan menggunakan sebatang kayu, Khamis lalu.

Tertuduh, Koh Gee Doon, 64, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan jirannya, Hor Keng Wah, 69, dengan menggunakan sebatang kayu yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian atas kepala.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan rumah di Jalan Kelochor, Padang Kelochor, di sini, antara 12.20 tengah hari pada 9 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Ariyani Mohd Amin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, Ariyani memohon tertuduh diikat jamin tidak melebihi RM3,000 kerana anak guamnya bersedia untuk mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung selepas dipukul jirannya menggunakan sebatang kayu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun dipetik berkata, siasatan percaya pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 3:13pm
d