mutakhir

Tuduh Rina subahat lindung Rumah Bonda tidak berasas

Oleh Mahani Ishak

Kuala Lumpur: Tuduhan mengaitkan Datuk Seri Rina Harun bersubahat melindungi Rumah Bonda tidak berasas kerana segala tindakan diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan yang merujuk kepada satu hantaran dalam Instagram pada 12 Jun lalu, yang mempertikaikan tindakan penguatkuasaan ke atas Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda).

Pada masa sama, kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial itu juga menuduh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bersubahat melindungi Rumah Bonda.

Justeru katanya, KPWKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sesuai terhadap individu yang berkenaan.

"Tindakan mengeluarkan kenyataan berunsurkan fitnah dengan tujuan menjatuhkan reputasi dan menangguk di air yang keruh adalah tidak wajar pada waktu perbicaraan kes remaja sindrom down, Bella masih lagi berjalan di mahkamah.

"Perbincangan lanjut bersama pihak Jabatan Peguam Negara akan dilaksanakan dan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dibuat bagi memastikan tuduhan seperti ini tidak berulang lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, pada 10 Jun lalu, Rumah Bonda, memfailkan saman terhadap JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL), bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers di Mahkamah Majistret di sini pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

Dalam saman itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menanggalkan 'Lak' yang dibuat pada 12 Julai 2021 ke atas premis itu di Taman Setapak dan memohon perintah supaya plaintif boleh menggunakan premis berkenaan bagi maksud lain, selain daripada pusat jagaan, serta memohon kos dan relif lain yang sesuai oleh mahkamah.

Dalam pada itu, kenyataan sama menjelaskan, Rumah Bonda didapati tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] yang juga adalah satu kesalahan di bawah akta yang sama.

Justeru, tindakan penguatkuasaan oleh JKM ke atas Rumah Bonda sudah dimulakan sejak Julai 2021.

"Berdasarkan siasatan, didapati Rumah Bonda adalah premis yang tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] yang juga satu kesalahan di bawah akta sama.

"Susulan itu, tindakan lak (seal) terhadap premis berkenaan sudah diambil pada 12 Julai 2021 selaras dengan Seksyen 16A Akta 506," katanya.

Katanya, kertas siasatan juga sudah dibuka dan tindakan kompaun diambil selaras dengan seksyen 21A Akta 506 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2011 serta dibuat dengan keizinan Pendakwa Raya berdasarkan fakta kes yang jelas.

"Amaun kompaun sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap pengendali Rumah Bonda adalah amaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah Akta 506.

"Sekiranya kompaun tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan, pendakwaan di mahkamah boleh dibuat yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2022 @ 8:40pm
d