mutakhir

Peluang bina hidup baharu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Pengalaman 13 kali masuk penjara sejak 2005 mendorong bekas banduan, Muhamad Noor Abdullah, 36, untuk mencari 'sinar baharu' dengan mendapatkan pekerjaan halal bagi meneruskan kehidupan.

Muhammad Noor berkata, dia berterusan dipenjara sehingga Mei 2021 atas pelbagai kesalahan termasuk curi dalam bangunan serta penyalahgunaan dadah.

"Pada 2021, saya dijatuhi hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan curi dalam bangunan. Namun, saya hanya menjalani hukuman lapan bulan selepas berkelakuan baik dan dibebaskan pada Mei tahun lalu.

"Saya bersyukur majikan yang juga syarikat penyedia bekalan gas memasak sudi terima saya bekerja di sini. Malah, majikan menyediakan kemudahan asrama yang turut menempatkan anak dan isteri saya.

"Pada masa sama, majikan menyediakan keperluan asas seperti makanan serta pakaian," katanya ketika ditemui di pejabat syarikat itu di Balakong di sini.

Muhammad Noor yang berasal dari Banting, Selangor berkata, dia ditugaskan mengisi tong gas serta memandu lori dengan gaji RM1,700 sebulan di syarikat berkenaan sejak dibebaskan pada Mei tahun lalu.

"Sepanjang setahun saya bekerja di sini, majikan dan rakan sekerja melayan saya seperti keluarga. Saya terharu dengan layanan mereka yang baik terhadap saya serta keluarga (anak dan isteri).

"Layanan ini menjadi pendorong saya terus menjaga disiplin selain bekerja keras bagi membalas kepercayaan mereka terhadap saya," katanya.

Menurut Muhammad Noor, dia bersyukur dapat bekerja dalam tempoh lama di syarikat berkenaan kerana sebelum ini dia kerap hilang fokus ketika bekerja akibat masalah dadah.

"Saya tanamkan dalam hati supaya rajin bekerja untuk mencari rezeki halal demi menyara keluarga. Saya harap masyarakat tidak memandang hina bekas banduan kerana kami juga mahu serta boleh berubah ke arah lebih baik," katanya.

Gaji 100 bekas pesalah sejak 2020

Sebuah syarikat penyedia bekalan gas memasak mengambil inisiatif menggaji bekas banduan sebagai pekerja bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berubah ke arah lebih baik.

Pengarah urusan syarikat berkenaan, Suthan Mookaiah berkata, pihaknya mula mengambil bekas banduan sebagai pekerja sejak Oktober 2020 dengan jumlah terkumpul bekas pengambilan antara 80 hingga 100 orang sehingga kini.

"Bekas banduan yang diambil bekerja lazimnya terbabit dalam jenayah kecil seperti gaduh, curi dan dadah membabitkan lelaki berusia 20 hingga 45 tahun.

"Semua pekerja itu (bekas banduan) akan ditempatkan (bekerja) di 10 cawangan serta ibu pejabat syarikat dengan gaji RM1,500 hingga RM2,000, bergantung kepada tempoh bekerja," katanya.

Suthan berkata, ada bekas banduan yang diambil bekerja memilih untuk berhenti kerja dan kembali ke pangkuan keluarga di kampung halaman.

"Tidak semua bekas banduan diterima mahu berubah apabila ada yang melarikan diri selain dibuang kerja selepas didapati mengambil dadah dan mencuri.

"Jika ada antara bekas banduan yang tidak dapat ditolong kerana bermasalah, kita terpaksa lepaskan mereka," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan bekas banduan tidak mempunyai peluang bekerja kerana berdepan masalah seperti tiada sokongan keluarga, masalah keluarga serta persepsi negatif masyarakat.

"Di sini, kita menyediakan asrama pekerja, keperluan asas, khidmat kaunseling dan bantuan daripada segi kewangan kepada pekerja (bekas banduan) dalam usaha membantu mereka supaya rasa dihargai dan diterima.

"Malah, mereka didaftarkan dengan semua manfaat seperti pekerja lain dengan tambahan kemudahan asrama memandangkan kebanyakan mereka berasal dari luar kawasan.

"Kita menempatkan pekerja bekas banduan di asrama bagi mengelak mereka kembali terjerumus dengan aktiviti negatif," katanya.

Menurutnya, syarikat itu akan mengambil lebih ramai pekerja yang juga bekas banduan dalam kalangan B40 dengan melebarkan 'sayap' pengambilan ke penjara negeri lain selain dari kawasan Lembah Klang.

"Setakat ini, kami hanya mengambil bekas banduan di Kuala Lumpur dan Selangor. Kami berhasrat untuk mengambil bekas banduan yang mahu bekerja dari Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan menyediakan asrama bujang serta pasangan kepada mereka," katanya.

Disiarkan pada: June 18, 2022 @ 12:00pm
d