mutakhir

CSM raikan 30 pesakit kanser di dusun durian [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Lebih 30 pesakit kanser diraikan dalam program makan durian di kawasan dusun di AMD Resort, Perik, di sini, hari ini.

Program anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM) itu diadakan untuk memberi ruang kepada semua pesakit bergembira selepas sekian lama berehat di rumah akibat penyakit dialami termasuk mereka yang sudah berada di tahap empat.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, pihaknya mengumpul 30 pesakit kanser yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas dan kurang berkemampuan dari sekitar daerah Padang Terap, Alor Setar dan Kubang Pasu untuk menjayakan program itu.

Katanya, program itu diadakan setiap tahun cuma lokasi berlainan dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pemilik AMD Resort, Datuk Ahmad Mat Daud yang sudi menaja lokasi peranginan itu.

"Tujuan program ini diadakan bagi memberi peluang kepada pesakit kanser merapatkan hubungan sesama mereka walaupun kanser yang dihidapi tidak sama tetapi mereka boleh berkongsi pendapat masing-masing.

"CSM menaja 200 biji durian kampung untuk dinikmati pesakit kanser dan penjaga yang hadir untuk program kali ini," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, pesakit kanser payudara, Maimunah Ahmad, 74, berkata, dia seronok berpeluang berkumpul dengan pesakit kanser lain kerana sebelum ini lebih banyak duduk di rumah.

Katanya, dia disahkan menghidap kanser itu dua tahun lalu menyebabkan payudara sebelah kirinya terpaksa dibuang atas nasihat doktor.

"Saya tak boleh buat rawatan kemoterapi kerana umur sudah lanjut tetapi hanya bertahan dengan makan ubat yang diberikan oleh doktor.

"Saya dapat tahu hidap kanser selepas mendapati payudara kiri keras macam batu dan bila buat pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, doktor sahkan saya ada kanser tapi saya terima ujian ini dengan sabar," katanya.

Norashikin Abdul Aziz, 29, yang menghidap kanser limfoma tahap empat berkata, sebelum ini dia hanya berseorangan di rumah dan tiada kawan untuk berbual.

Katanya, melalui program seperti itu, dia dapat bertemu dengan rakan senasib yang lain sambil meluahkan perasaan mereka selain bertukar pendapat.

"Saya rasa seronok dengan adanya program seperti ini menyebabkan saya tidak lagi mengalami tekanan memikirkan kanser yang dialami ini.

"Saya harap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai pesakit kanser akan hadir memeriahkan suasana seolah-olah kami tidak sakit pun," katanya.

Menurut Norashikin, dia sudah menjalani rawatan transplan di Hospital Ampang, Selangor pada 7 Jun lalu dan keadaan kesihatannya makin baik.

"Kisah saya pernah disiarkan dalam akhbar Harian Metro tiga bulan lalu dan Alhamdulillah, wang hasil sumbangan daripada pembaca itulah yang saya gunakan untuk membiayai rawatan di hospital sepanjang berada di Ampang, Selangor," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2022 @ 10:39am
d