mutakhir

Kedah bakal umum langkah baharu kekang aktiviti maksiat

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Baling: Kerajaan negeri bakal mengumumkan beberapa langkah baharu bagimengekang aktiviti maksiat.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, usaha itu penting bagi memastikan Kedah menjadi negeri selamat selaras slogan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' yang diterapkan kerajaan negeri ketika ini.

"Selepas ini, kerajaan negeri akan memperkenalkan langkah baharu dalam membasmi aktiviti maksiat dalam kalangan masyarakat. Kita akan umum dari semasa ke semasa.

"Hujung tahun lalu, kita umum semua premis judi di negeri ini akan menamatkan operasi mereka selepas kita tidak lagi memperharui lesen, jadi akan ada langkah lain pula selepas ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Anugerah Jejak Murabbi Ummah Kedah di sini, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat pemilik premis judi membuat rayuan kepada kerajaan negeri bagi memperbaharui lesen premis judi, beliau memaklumkan, setakat ini tiada pihak yang berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menegaskan, kerajaan negeri sentiasa memantau individu atau penceramah yang cuba membawa aliran yang bercanggah fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang diamalkan di negara ini.

Katanya, pegangan umat Islam di negeri ini masih terpelihara berikutan masih mempunyai ramai ulama berpengalaman dan arif dalam bidang agama.

"Di Kedah masih terkawal kerana kita masih ada ulama dan tuan guru pondok yang membuat pengajian kitab turath serta mengamalkan konsep belajar secara berguru.

"Kita tidak ada guru agama yang lahir dari media sosial dan belajar pun hanya daripada media sosial. Kita akan terus pegang dengan ASWJ, kita tidak akan terima aliran lain selain itu," katanya.

Disiarkan pada: June 21, 2022 @ 3:49pm
d