mutakhir

Yasin ucap takziah pemergian Adibah Noor [METROTV]

Oleh Faris Fuad

Petaling Jaya: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Adibah Noor di atas pemergian penyanyi itu yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa.

Muhammad Yasin yang kini berdepan hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah, turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga rakan baiknya, Mujahid Abdul Wahab.

"Salam takziah kepada (ahli keluarga) kawan baik saya, Mujahid Abdul Wahab dan Adibah Noor, Innalillahiwainnailaihirojiun," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu berkata demikian ketika ditemui pada sebutan kesnya di mahkamah di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Adibah, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles di sini, akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

Selain itu, Yasin dikatakan pernah bekerjasama dengan Allahyarham Mujahid untuk satu projek pada tahun lalu.

Pada 31 Mac lalu, Yasin didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Disiarkan pada: June 22, 2022 @ 2:30pm
d