mutakhir

Kedah catat penurunan kes jangkitan HFMD

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah terus mencatatkan penurunan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) selepas 531 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 yang bermula 12 hingga 18 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata berlaku penurunan 171 kes pada Minggu Epidemiologi ke-24 berbanding 702 kes yang dicatat pada minggu sebelumnya.

"Setakat ini Kedah mencatatkan keseluruhan 5,425 kes HFMD dan terdapat satu wabak baharu dilaporkan membabitkan taska yang sudah diarah tutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar dengan tiada kes mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, Kuala Muda masih mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 1,337 kes diikuti Kulim (806), Kubang Pasu (797) dan Kota Setar (537).

Katanya, sepanjang tahun ini juga, sebanyak 51 wabak HFMD dilaporkan berlaku di Kedah, dengan 50 daripadanya berlaku di pusat pendidikan seperti taska, tadika dan prasekolah.

"Sebanyak 49 premis berkaitan diarah tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan pencegahan jangkitan.

"Pengusaha dan pengurusan pusat jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak digesa melakukan pemeriksaan dan proses nyah kuman dengan kerap bagi mengekang penularan," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2022 @ 3:42pm
d