mutakhir

Kakitangan JKM setiap cawangan perlu ditambah

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Badan bukan kerajaan (NGO), Bantu-Bantu Malaysia mencadangkan supaya kerajaan menambah kakitangan di setiap cawangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kepada kumpuan sasar.

Pengasas bersama Bantu-Bantu Malaysia, Datin Dian Lee Cheng Ling berkata, kakitangan atau pekerja yang mencukupi di JKM sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan kes dengan lebih cepat dan sistematik.

"Ia membolehkan JKM membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dibantu secepat mungkin, selain tidak membebankan pekerja di jabatan berkenaan.

"Contohnya di JKM cawangan Batu Pahat sendiri, nisbah seorang pekerja perlu menjaga sehingga 800 kes dan itu jumlah yang terlalu banyak.

"Dalam tempoh sebulan cuma ada 30 hari sahaja malah tidak boleh menyelesai tiga kes dalam satu hari," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Sri Medan, hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai JKM Daerah Batu Pahat Sabariah Salim dan Penyelia Pusat PDK Sri Medan, Shamsiah Rasip.

Sementara itu, Dian Lee berkata, Bantu-Bantu Malaysia akan terus bekerjasama dengan JKM dalam misi memberi bantuan dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

"Kami sudah menyampaikan bantuan 16 kerusi roda termasuk di PDK di Sri Medan dan sumbangan wang tunai kepada ibu bapa di pusat berkenaan.

"Selain itu, bantuan turut diberikan kepada warga emas uzur dan remaja lumpuh di sekitar Batu Pahat," katanya.

Disiarkan pada: June 22, 2022 @ 4:15pm
d