mutakhir

Orang ramai mula buat belian panik minyak masak botol [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Orang ramai dan pengguna di bandar raya ini mula membuat pembelian panik minyak masak botol susulan langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg), mulai 1 Julai. Tinjauan di beberapa pasar besar sekitar bandar raya ini mendapati minyak masak lima kg menjadi rebutan ramai pengguna.

Ada pengguna juga dilihat membeli antara dua hingga tiga botol minyak masak lima kg.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam, berkata tindakan orang ramai membuat pembelian sehingga dua hingga tiga minyak masak botol lima kg menyebabkan stok kategori berkenaan semakin berkurangan.

"Ketika ini ramai pengguna mula buat pembelian minyak masak botol lima kg dalam jumlah banyak iaitu dua hingga botol setiap keluarga menyebabkan pasar raya kami mula mengalami kekurangan minyak masak dari dua,tiga dan lima kg.

"Trend ini agak membimbangkan kerana jika ia berterusan, dua tiga hari lagi stok minyak masak botol membabitkan minyak masak sawit tulen akan kehabisan.

"Kami bercadang membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor bagi mengehadkan pembelian minyak botol kepada setiap pengguna bagi memastikan bekalan minyak botol tidak kehabisan.

"Apatah lagi, pembekal memaklumkan mereka juga tidak mempunyai stok bekalan minyak botol yang banyak ketika ini apabila pesanan dibuat," katanya.

Selasa lalu, media melaporkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga.

Beliau berkata, bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

Dalam pada itu, pengguna, Norazura Amin, 36, berkata, beliau berkata beliau tidak bercadang membuat pembelian panik minyak masak botol.

"Saya lihat ramai yang beli minyak botol secara pukal, namun saya tidak mampu.

"Bukan hanya minyak masak perlu dibeli, ayam segar dan telur pun harganya makin mahal membuatkan pengguna semakin tertekan.

"Minyak masak paket pun makin sukar diperoleh dan sudah lama tidak dapat dibeli di kawasan saya," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2022 @ 3:30pm
d