mutakhir

Waspada kegiatan 'scammer' badal haji palsu

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pakej haji dan umrah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, itu antara tindakan tegas boleh diambil pihaknya, selain menarik balik lesen atau menyenarai hitam agensi pelancongan itu.

Bagaimanapun Nancy berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau mengesan mana-mana syarikat yang cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam di negara ini mahu menunaikan ibadah berkenaan.

"Kami tidak menerima sebarang laporan berkaitan hal itu. Kita peka mengenai isu itu dan sudah membuat pemantauan. Dulu memang kita ada dengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum lagi.

"Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah jika tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, mengikut terma dan syarat perlesenan itu," katanya selepas menyampaikan sijil kepada 333 graduan dalam Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), di kementeriannya di sini, tadi.

Media sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah yang menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk umrah dan haji.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di situ.

Disiarkan pada: June 23, 2022 @ 4:06pm
d