mutakhir

'Thunder' mampu saingi FA-50

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pesawat pejuang ringan JF-17B Thunder mampu mengatasi pesawat FA-50 dalam persaingan untuk memenuhi permintaan Malaysia kerana memiliki kemampuan persenjataan jarak sederhana yang diperlukan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat pejuang generasi keempat JF-17B Thunder itu dibangunkan secara bersama oleh pat JF-17B Thunder itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dari China.

Pesawat kategori jet tempur ringan (LCA) itu antara yang disenarai pendek dalam bidaan tender pembekalan 36 jet LCA.

Muatan maksimum yang boleh dibawa oleh pesawat pejuang JF-17 Thunder ini adalah kira-kira 3,700kg, manakala kelajuan maksimum pesawat adalah 1,900km/h dengan pesawat boleh terbang sejauh 2,300 km.

Pengarah Urusan Paragon Avtech Sdn Bhd, Datuk Lau Kong Cheng berkata, jet berkenaan adalah jet pejuang 'Multi Role' tulen yang unggul berbanding pesawat lain dalam tender dari segi kuasa enjin, muatan, kelajuan, ketinggian dan jarak jauh.

"Tawaran JF-17B amat murah dan membawa penjimatan kos lebih RM750 juta berbanding pesawat pembida yang lain.

"Ketika ini proses penilaian tender dan lawatan Pengilang Peralatan Asal (OEM) sedang dijalankan bagi menilai jet pejuang yang dibida," katanya kepada Harian Metro.

Pesawat tempur ringan FA-50 buatan Korea Selatan adalah pesaing terdekat bagi pesawat JF-17B yang turut disenarai pendek.

Sementara itu, sumber yang juga pakar penerbangan memaklumkan, FA-50 kini dilengkapi dengan radar dari Israel.

"Jika ingin menukar spesifikasi dan dan radar ia memerlukan kos tambahan, pembangunan dan sokongan serta risiko pertukaran radar.

"Bagaimanapun jika spesifikasi ditukar ketika pembidaan tender dilakukan ia dilihat tidak adil kepada pembida lain," katanya.

Sebelum ini, sejumlah lapan syarikat antarabangsa dilaporkan berminat membida tender pembekalan 36 jet LCA TUDM setakat ini.

Menurut laporan pelbagai media antarabangsa, tender terbuka berkenaan telah dilancarkan oleh Kementerian Pertahanan sejak 22 Jun dan ditutup pada 22 September tahun lalu.

Perolehan itu bakal menggantikan lima jet LCA dua kerusi model BAE System Hawk Mk 108 dan 13 buah model Mk 208 kerusi tunggal buatan Britain yang digunakan lebih sedekad lalu.

Malah, langkah berkenaan turut membabitkan penggantian tujuh jet latihan penggempur (FLIT) model Aermacchi MB-339CM buatan Itali yang ketika ini ditempatkan di Pulau Pinang.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 4:10pm
d