mutakhir

UMS lahirkan 6 pakar sulung kesihatan awam

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah tersendiri dalam bidang kesihatan awam berikutan kejayaan sulungnya melahirkan enam doktor pakar kesihatan awam pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 yang bermula hari ini hingga lusa.

Kejayaan itu diumumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin selaku Canselor UMS pada majlis pembukaan majlis konvokesyen berkenaan di Dewan Canselor UMS, di sini, hari ini.

Tun Juhar berkata, mereka adalah graduan sulung Program Pascasiswazah Kesihatan Awam (DrPH) yang diperkenalkan di bawah Fakulti Perubatan dan Kesihatan Awam (FPSK) UMS pada 2018.

"DrPH UMS yang berada pada tahap lapan mengikut Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) menerima pendaftaran pertama pelajarnya pada September 2018 dan pada hari ini akhirnya UMS melahirkan enam doktor pakar kesihatan awam untuk Malaysia," katanya.

Selain pakar kesihatan awam, UMS turut melakar sejarah baharu dalam bidang pengajian Islam apabila turut melahirkan graduan sulung Fakulti Pengajian Islam (FIS).

Pada Majlis Konvokesyen itu, seramai 27 pelajar pertama Pengajian Islam menerima ijazah masing-masing daripada Tun Juhar.

Mereka adalah sebahagian daripada 461 graduan menerima ijazah daripada Tun Juhar pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS Ke-23 pagi tadi merangkumi 71 graduan Doktor Falsafah (PhD), graduan DrPH (enam), sarjana penyelidikan (96), sarjana kerja kursus (261) dan 27 graduan sulung Pengajian Islam.

Majlis Konvokesyen UMS pada kali ini turut menyaksikan seramai 99 graduan antarabangsa pelbagai bidang pengajian menerima ijazah masing-masing, kebanyakannya dari China, Brunei, Bangladesh dan Indonesia.

Majlis Konvokesyen Ke-23 UMS adalah konvokesyen kedua diadakan pada tahun ini selepas Majlis Konvokesyen Ke-22 pada Mac lalu, masing-masing untuk meraikan graduan yang tamat pengajian tahun lalu dan 2020.

Secara keseluruhan seramai 4,319 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung sehingga lusa.

Disiarkan pada: June 25, 2022 @ 5:19pm
d