mutakhir

Husam Musa disaman

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Syarikat Al Dar Resources Sdn Bhd dan pemiliknya memfailkan dua saman terhadap Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa yang menuntut ganti rugi RM60 juta atas dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang.

Dua saman itu dibuat oleh plaintif, Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta dan pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz Mohd Rasdin yang menuntut ganti rugi RM10 juta.

Tuntutan saman terbabit dibuat menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.

Peguamnya, Azeel Eskandar Azmi, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Husam menerusi Facebook pada 3 dan 6 Jun lalu, yang disifatkan memfitnah syarikat anak guamnya.

"Anak guam kami menafikan dengan tegas keseluruhan pernyataan dalam kedua-dua hantaran berkenaan.

"Pernyataan itu adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah dan kesannya menjatuhkan imej dan reputasi baik anak guam kami selaku sebuah syarikat dan ahli perniagaan yang mempunyai nama baik di Kelantan," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Beliau berkata, menerusi saman yang dikemukakan itu, Al Dar Resouces menuntut ganti rugi DM50 juta iaitu RM10 juta ganti rugi am akibat penerbitan perkataan fitnah dan RM40 juta bagi ganti rugi khas akibat kehilangan pendapatan susulan penerbitan fitnah itu.

"Anak guam kami turut menuntut satu perintah mengarahkan defendan memadam semua penerbitan fitnah, satu injunksi berterusan yang menghalang defendan sama ada sendiri atau melalui ejen daripada menerbitkan semula atau menyebabkan penerbitan semula perkataan fitnah.

"Defendan juga dituntut membuat permohonan maaf secara bertulis, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan kos guaman," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi pihak pemilik syarikat Al Dar Resouces,

Mohd Haffiz pula menuntut ganti rugi am RM10 juta daripada defendan selain perintah injunksi sampingan seperti dinyatakan dalam saman berkenaan.

"Kami sudah menghantar notis tuntutan kepada defendan pada 12 Jun lalu, namun tidak mendapat maklum

balas sebelum kami memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 21 dan 22 Jun lalu.

"Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan kes pada 13 Julai depan," katanya.

Sementara itu, Mohd Haffiz 38, turut menegaskan segala kenyataan yang dikeluarkan Husam adalah tidak benar.

Katanya, syarikatnya mendapat kelulusan kontrak daripada Daulah Najah Sdn Bhd bagi projek mengeluarkan saki-baki kayu dalam kawasan berkenaan untuk penempatan semula Orang Asli bagi pembinaan hidroelektrik Nenggiri untuk kawasan yang ditenggelamkan.

"Kelulusan kepada syarikat kami bukan projek pembalakan sebaliknya untuk pembersihan mengeluarkan saki-baki kayu dan pembinaan semula penempatan Orang Asli.

"Saya menegaskan dakwaan yang menyatakan saya dikatakan terbabit dengan pembalakan itu tidak benar.

"Saya mengeluarkan semua kayu bagi memudahkan pemilik projek menjalankan kerja-kerja mereka," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2022 @ 10:18am
d