mutakhir

Suami isteri tinggalkan mayat anak lepas kemalangan

Oleh Mohd Amin Jalil

Tampin: Sepasang suami isteri sanggup meninggalkan mayat anak lelaki mereka yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, dekat sini, malam kelmarin.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 20-an melarikan diri dari lokasi kejadian menggunakan pacuan empat roda jenis Hilux milik pengguna jalan raya lain yang ingin membantu keluarga terbabit.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kemalangan berlaku jam 11.30 malam, apabila lelaki itu bersama isteri dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor, di sini.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Iswara dipandu lelaki berkenaan cuba memotong sebuah lori namun gagal dikawal lalu terbabas ke kanan jalan.

"Kenderaan terbabit berpusing beberapa kali menyebabkan bergesel dengan lori berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang kereta tercampak keluar dari kenderaan dan seorang kanak-kanak lelaki tercampak di tengah jalan dan digilis sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Jelai.

"Mayat dibawa ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Anuwal berkata, bagaimanapun ibu bapa mangsa melarikan dengan sebuah kenderaan jenis pacuan empat milik pengguna jalan raya yang memberi bantuan di tempat kejadian.

Beliau berkata, pasangan terbabit ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor, dekat sini.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan manakala kereta yang dipandu lelaki berkenaan dibuat pemeriksaan dan polis menemui dadah.

"Siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 turut dibuka.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan berkenaan diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06-4412502 atau 06-4431999, bagi membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2022 @ 2:01pm
d