mutakhir

Domino's sokong pemerkasaan TVET

Oleh Ercy Gracella Ajos

Kuala Lumpur: Domino's Pizza Malaysia menyokong pemerkasaan dan pembangunan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memberi peluang latihan kepada golongan belia terutama pelajar yang bakal menjadi peneraju masa depan dalam industri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Amree Abdul Rahman berkata, menerusi latihan yang diberikan, pihaknya akan memberi pendedahan dan pengalaman yang membolehkan pelajar mendapat manfaat dalam dunia pekerjaan kelak.

Beliau berkata, selain bekerja, pelajar juga dapat menimba kemahiran bukan hanya dalam bidang operasi perniagaan berteraskan makanan, tetapi termasuk pengurusan perniagaan.

"Pihak kami juga akan berkongsi dan memberi pendedahan yang lebih meluas dalam bidang terbabit kepada pelajar yang berminat menimba pengalaman dan kemahiran.

"Selain mampu meningkatkan kecekapan, pelajar juga dapat membina jati diri dan disiplin yang tinggi dalam suasana pekerjaan sebenar," katanya selepas meraikan kakitangan editorial The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan jamuan pizza sempena ulang tahun Domino's Malaysia ke-25 tahun di Balai Berita, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Shamsul Amree berkata, latihan asas yang diberikan turut membuka peluang kepada pelajar menjadi usahawan dan peniaga yang berjaya.

"Pelajar yang bekerja dengan kami sama ada dalam tempoh tiga atau enam bulan mahupun dalam tempoh setahun, akan berubah menjadi individu yang berbeza daripada sebelumnya.

"Ia dapat dilihat menerusi cara mereka berfikir, kemahiran dan kebolehan serta karakter positif yang baik sepanjang menimba pengalaman bersama kami," katanya.

Mengulas perjanjian persefahaman (MoU) antara Domino's Malaysia dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Johor bagi mengadakan kerjasama strategik dalam memberi latihan kepada pelajarnya, Shamsul Amree berkata, pihaknya mengalu-alukan jika ada institusi pengajian tinggi lain berminat dalam perkara sama.

"Kami terbuka dan bersedia menjalin kerjasama dengan universiti lain di negara ini yang berminat untuk menganjurkan program sama dalam usaha melahirkan tenaga kerja berpengalaman dan berkemahiran khususnya dalam industri makanan," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2022 @ 5:57pm
d