mutakhir

Tiada lagi pendekatan 'tembok besi' antara kerajaan-pembangkang

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus memastikan kestabilan politik negara demi kepentingan menjaga kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia dalam berdepan pasca pandemik dan fasa peralihan ke endemik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pendekatan 'tembok besi' antara kerajaan dan pembangkang tidak lagi boleh diambil kerana kestabilan politik demi menjaga kebajikan Keluarga Malaysia adalah lebih penting.

"(Kerajaan) pastikan suasana politik negara stabil, walaupun kita (kerajaan) terpaksa berkorban dengan bekerja, berkongsi dan merancang bersama pihak lawan (pembangkang) yang dahulunya kita dipisahkan dengan 'tembok besi' antara kerajaan dan pembangkang.

"Ego mesti ditanam dalam-dalam, berpuak-puak yang berlebih-lebihan mesti ditolak jauh-jauh, politik solo, semberono, rasa segala-galanya boleh dibuat sendiri bukan formula yang sesuai untuk sekarang… kita perlukan prinsip al-Ta'ayush atau kebersamaan dan muafakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri di sini, hari ini.

Annuar berkata, konsep keprihatinan juga perlu diteruskan antara rakyat dengan rakyat, rakyat dengan kerajaan, kerajaan dengan kerajaan dan sebagainya kerana dalam suasana ketika ini negara perlu bergerak ke hadapan bersama nilai-nilai tertentu yang akan didukung Keluarga Malaysia.

Sementara itu, Annuar yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, pengurusan pasca Covid-19 bukan sesuatu yang mudah seperti disangkakan oleh sesetengah pihak.

"Dalam kegawatan itu ada pihak yang cuba ambil kesempatan dalam kesempitan, menahan lukah di pergentingan, mencari laba (keuntungan) politik jangka pendek untuk menjadi popular dengan menjadi pengkritik dan pencacai yang sememangnya mudah.

"Dunia dan negara telah buktikan orang yang terlalu permudahkan masalah rakyat, bila dapat peluang untuk uruskan, mereka jadi orang-orang yang gagal sebab semua nak ambil pendekatan yang 'simplistic' (terlalu mudah)… semua yang kerajaan buat semuanya tak kena.

"Orang kata mudah diucapkan daripada melakukan, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul… setakat tengok belum pikul belum tahu," katanya.

Annuar berkata, berdasarkan sejarah, individu yang sebelum ini mengkritik kerajaan kelihatan bijak, hebat dengan idea yang pelbagai, namun apabila diberi peluang mentadbir akhirnya mereka tidak dapat melaksanakannya kerana menguruskan negara bukan perkara yang mudah.

Semalam, Annuar mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan yang dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu, Annuar menegaskan kerajaan mengambil kira semua aspek terutama kemampuan rakyat sebelum mengambil keputusan bagi mengawal harga barangan di pasaran.

Memberi contoh harga ayam, beliau berkata, walaupun harga ayam di negara jiran jauh lebih tinggi disebabkan kesan inflasi, kerajaan mengambil keputusan untuk tetap tidak mengapungkan harga ayam demi keperluan rakyat.

"Adakah rakyat bersedia membeli ayam lebih harga RM10? Maka, kerajaan Keluarga Malaysia tetap tidak mengapungkan harga ayam dan ditetapkan harga siling bawah RM10 dan RM1.1 bilion dibelanjakan untuk tujuan itu," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 12:54pm