mutakhir

Hari Kebangsaan tonjol sambutan cara komuniti, keluarga

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Hari Kebangsaan tahun ini perlu disambut dengan pembaharuan iaitu membabitkan penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga, supaya tema dan konsep sambutan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' yang diterapkan dapat dirakyatkan sepenuhnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, ini penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, sebaliknya perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti daripada pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara.

"Kita juga akan menggerakkan unit-unit yang ada dalam rangkaian komuniti Keluarga Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain agar semuanya mengambil inisiatif untuk menggerakkan dan mengadakan sambutan peristiwa ini di peringkat akar umbi.

"Malah kalau boleh kita jalankan kempen agar sambutan berlaku juga di peringkat keluarga, mungkin sebagai contoh mewujudkan satu pertandingan di TikTok untuk memperlihatkan cara-cara Keluarga Malaysia kita menyambut Hari Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek.

Annuar berkata, beliau akan menulis surat kepada semua kerajaan negeri serta wakil-wakil rakyat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam merakyatkan sambutan terbabit.

Sementara itu, dalam sidang media, Annuar berharap program sambutan itu dapat dihebahkan oleh pihak media serta agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan bagi menggalakkan penyertaan menyeluruh rakyat, di samping membantu menerapkan penghayatan mereka terhadap tema sambutan.

"Saya rasa ini penting kerana saya nak tengok lebih fizikal, lebih keterlihatan sambutan dilakukan oleh keseluruhan rakyat Malaysia yang berbagai kaum," katanya.

Beliau juga tidak mahu melihat sambutan terbabit hanya kelihatan disambut oleh negeri tertentu sahaja atau di peringkat tertentu atau disambut oleh kaum tertentu sahaja tetapi ingin benar-benar melihat kebersamaan rakyat Malaysia.

"Sebagai contoh kita mahu keterlihatan dalam meningkatkan peluang siaran terhadap program yang dilaksanakan pelbagai masyarakat dalam negara ini sempena Hari Kemerdekaan di stesen-stesen siaran (televisyen). Jangan siar semuanya (program) KL centric (menumpukan program di Kuala Lumpur sahaja) atau hanya perkara yang dibuat oleh masyarakat Melayu," katanya.

Mengulas pemilihan logo berkonsepkan jalur liputan internet dan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' untuk sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kali ini, Annuar berkata, ia bersesuaian dengan situasi dialami negara ketika ini.

Beliau berkata, tiga warna pada logo mempamerkan kebersamaan rakyat sebagai Keluarga Malaysia yang hidup bersatu dan aman damai sekali gus menjadi intipati untuk negara bergerak ke hadapan dan menggambarkan negara telah berkembang daripada kecil kepada (pembangunan) lebih besar.

Ia juga melambangkan bagaimana rakyat komited untuk terus maju ke dalam suasana yang mencabar, namun masih mempunyai teknologi terkini seperti jalur lebar, wifi yang menjadi pengikat, penghubung dan asas kepada kesalinghubungan kehidupan dan ekonomi, katanya.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam kenyataan memaklumkan tiga aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Ia merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

Di samping itu, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan telah disusun bagi memupuk serta menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Ia antaranya Pertandingan ILHAM Merdeka Tik Tok Challenge, Pertandingan KLIK@Merdeka, Pertandingan Bintang Smule, Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka, Program Pengisahan Kenegaraan, Sayembara Sajak Merdeka yang kesemuanya akan bermula pada 30 Julai hingga 16 Sept.

Bagi menyemarakkan semangat patriotisme pula, program Kembara Keluarga Malaysia 2022 (KKM2022) yang berkonsepkan serah baton akan diadakan bermula pada 30 Julai di Putrajaya, dengan acara pelepasan akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 1:25pm
d