mutakhir

'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

Oleh Mohamad Ashyiq Haqimi

Kuala Lumpur: 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Annuar Musa berkata, pemilihan tema itu selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia diaspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

" 'Keluarga Malaysia' merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

"Frasa tambahan 'Teguh Bersama' pula membawa maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif dan mampan.

"Rakyat harus bersatu padu kerana kita masih belum menang, cabaran pasca pandemik masih lagi ada, semoga dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' dapat mengembalikan kehidupan seperti empat tahun yang lepas," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tema dan Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berkata, pemilihan logo tahun ini berkonsepkan jalur liputan internet yang melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

"Tiga jalur biru, merah dan kuning cerminan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya serta hidup harmoni.

"Titik merah pula melambangkan jati diri dan semangat patriotik yang menjadi teras pembentukan negara berdaulat dan berwawasan.

"Akhir sekali, kedudukan yang berselang-seli melambangkan keterbukaan dalam meraikan perbezaan dan kepelbagaian demi kemajuan bersama," katanya.

Tiga aktiviti utama akan diadakan tahun ini bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan iaitu Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 30 Julai di Putrajaya.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 3:36pm
d