mutakhir

Syukur, lega suami selamat - Isteri pemancing [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Rasa tak sedap hati, pening dan senak perut hilang sebaik dimaklumkan suami bersama rakan dan kru bot selamat," kata Nur Shahfinaz Adenan, 39.

Isteri kepada Fadzil Mohamed Zakaria, 43, meluahkan demikian ketika ditemui di Pejabat Maritim Malaysia di sini, hari ini.

Fadzil sebelum ini dilapor hilang bersama sembilan rakan pemancing dan tiga kru bot selepas gagal tiba di jeti di sini pada Rabu lalu.

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan menemui semua mangsa selamat berhampiran pelantar minyak Cendor, 80 batu nautika dari sini dan sedang dibawa pulang serta dijangka tiba di jeti maritim pada 10 malam ini.

Nur Shahfinaz berkata, dia mula tidak sedap hati selepas gagal menghubungi talian telefon suaminya, memandangkan Fadzil memaklumkan hanya memancing selama lima hari empat malam dan tiba di daratan pada Rabu.

"Masa itu sudah rasa lain, apatah lagi keluarga kepada pemancing lain juga gagal menghubungi suami mereka. Apabila jadi seperti ini, memang saya tak dapat beri tumpuan di tempat kerja dan tak sangka akan alami keadaan seperti ini.

"Sebelum ini, saya hanya tengok di televisyen orang menunggu suami tak pulang-pulang dan kali ini kena pada saya," kata ibu kepada seorang anak itu.

Nur Shahfinaz berkata, dia bergerak dari Puchong, Selangoor dan tiba di Kuala Terengganu pada 2.30 petang tadi bersama anak lelaki berusia 12 tahun dan kakak ipar serta suaminya.

"Memang sangat lega apabila mereka semua selamat, rasa bersyukur sangat dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan mendoakan keselamatan semua mangsa," katanya.

Berita berkaitan

10 pemancing, tiga kru hilang ditemukan selamat

Bot pemancing sepatutnya pulang Rabu lalu

Bot bawa 10 pemancing, 3 kru hilang di laut

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 6:53pm
d