mutakhir

Pati lari masuk hutan elak ditahan [METROTV]

Oleh Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Bagaikan lipas kudung, sekumpulan 30 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menyedari kehadiran sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah bertempiaran melarikan diri ke hutan berhampiran tempat kerja mereka di Bukit Selambau, dekat sini, hari ini.

Segelintir daripada Pati terbabit yang juga warganegara China dilihat sanggup membahayakan diri dengan memanjat dan melompat melepasi pagar yang memisahkan kawasan kilang dan hutan bagi mengelak daripada dicekup.

Mereka yang dikatakan sudah mengetahui selok belok kawasan hutan berkenaan terus menghilangkan diri dan gagal dikesan manakala selebihnya berjaya ditahan JIM.

Dalam Op Mahir selama enam jam bermula pada 9.30 pagi yang diketuai Ketua Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kedah, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Mohamad Rizal Ramli itu, seramai 114 pekerja warga asing terdiri daripada 73 lelaki dan 41 wanita diperiksa.

Operasi dengan kekuatan seramai 35 pegawai JIM itu ditumpukan di dua lokasi berbeza iaitu kilang barang kitar semula yang kemudian diproses untuk eksport ke China.

Siasatan mendapati kilang terbabit dimiliki seorang lelaki warga China dengan pekerjanya juga terdiri daripada penduduk negara berkenaan dan gaji mereka dibayar dalam mata wang Yuan dipercayai untuk menjimatkan kos operasi.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, daripada 114 pekerja yang diperiksa seramai 44 daripadanya terdiri daripada 30 lelaki dan 14 wanita berusia 24 hingga 63 tahun dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

"Siasatan lanjut mendapati pekerja warga China di kilang berkenaan yang dokumen mereka sudah tamat tempoh tidak pulang ke negara asal dengan ada antaranya dikesan menyalahguna pas lawatan sosial untuk bekerja.

"Manakala pekerja lain, masing-masing warga Myanmar, Pakistan, India, Nepal dan Indonesia tidak mempunyai sebarang pas atau dokumen yang sah," katanya ketika ditemui di lokasi selepas operasi dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Selain itu, kita turut mengeluarkan borang 29 (saman kepada saksi) masing-masing kepada pengurus dan kerani kilang bagi membantu siasatan.

"Dalam operasi berkenaan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku namun kita mengesan hampir 30 pekerja China yang melarikan diri ke hutan berhampiran tempat kerja mereka," katanya.

Operasi berkenaan dilakukan secara besar-besaran di sekitar Kuala Muda selepas Program Rekalibrasi Tenaga Kerja diumumkan tamat tempoh tengah malam tadi.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 7:01pm
d