mutakhir

101 Pati ditahan di Perak

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Operasi, Op Mahir dan Op Sapu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, hari ini yang berakhir hari ini, menahan 101 pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warga negara.

Mereka ditahan dalam serbuan ke atas kilang barang terpakai, rumah kedai dan rumah kongsi di Simpang Pulai dan sekitar Ipoh.

Pengarah JIM Perak, Hapdzan Husaini berkata, ketika serbuan, ada Pati yang sanggup mengambil risiko dengan memanjat tembok untuk menyelamatkan diri.

"Seramai 49 pegawai dan anggota penguatkuasaan yang terbabit melakukan kepungan dan berjaya menahan 64 Pati yang cuba melarikan diri.

"Keseluruhannya 162 orang diperiksa, dengan 101 ditahan membabitkan tujuh wanita dan 94 lelaki warga China, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan India berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun," katanya dalam kenyataan.

Hapdzan berkata, semua Pati disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama selain Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 7:29pm
d