mutakhir

Asal cukup untuk perniagaan terus beroperasi

Oleh Anis Syuhada Mohd Rosli dan Natrah Laili Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Segelintir peniaga restoran dan penjaja makanan di ibu negara mendakwa tidak bercadang menaikkan harga makanan jualan buat masa ini.

Pengusaha restoran, Amir Irfan Zakaria, 28, berkata, tidak sanggup untuk menaikkan harga yang melampaui kemampuan pelanggan, meskipun sedar kosnya turut meningkat.

"Cukuplah sekiranya perniagaan ini masih mampu beroperasi, menampung kehidupan keluarga saya dan dapat membayar gaji pekerja," katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, Amir Irfan berkata, dia akan mempertimbangkan untuk menaikkan harga jualan sekiranya berlaku peningkatan harga ayam yang tidak munasabah.

Bagi peniaga nasi berlauk, Rohayu Hashim, 59, harga hidangan berasaskan ayam sudah dinaikkan RM1 sejak selepas Aidilfitri bagi menyeimbangi kos dan keuntungan.

"Saya masih mengekalkan harga sama bagi menu yang lain. Alhamdulillah, pelanggan faham dengan situasi ini, malah ada yang tidak kisah kerana sedar harga barang mentah meningkat," katanya.

Menurutnya, selain bahan mentah, kos bekas makanan, sudu dan garfu plastik turut mempengaruhi harga jualan makanan.

Sementara itu, Mohd Rizuan Mohd Isa, 32, yang mengusahakan restoran di sini pula berkata, dia tiada pilihan selain menaikkan harga makanan antara RM1 ke RM3 untuk terus beroperasi dan membayar sewa serta gaji pekerja.

"Tidak sampai hati dan segan juga untuk menjual dengan harga baru, tetapi buat masa sekarang saya tiada pilihan lain, apatah lagi pendapatan pun menyusut 50 peratus kerana kos meningkat," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 8:25pm
d