mutakhir

Jabatan Muzium sedia bantu produksi terbit filem sejarah [METROTV]

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak produksi yang ingin menghasilkan filem berkaitan tokoh sejarah dengan hasrat menyuburkan minat masyarakat mendalami sejarah.

Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A Kassim berkata, JMM menyimpan banyak data, maklumat serta hasil kajian berkaitan sejarah yang mana ia dapat diseimbangkan secara penuh dengan naratif filem yang semestinya tidak dapat lari daripada tokok tambah mencantikkan plot penceritaan.

"Sebab dalam semua filem akan ada improvisasi atau tokok tambah bagi mencantikkan skrip.

"Kita ada data, maklumat, dan hasil kajian yang banyak. Jadi kita boleh memastikan ketepatan penceritaan," katanya dalam sidang media Program Semarak@Muzium Sempena Pameran Menelusuri Jejak Tengku Menteri Ngah Ibrahim di Muzium Matang di sini, hari ini.

Kamarul Baharin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang kini mencetuskan fenomena luar biasa selain adanya segelintir pihak mempertikai mengenai kisah penceritaan melalui filem itu yang sedikit tersasar daripada catatan sejarah sebenar.

Mengulas lanjut, Kamarul Bahrin mengakui sesebuah filem yang dihasilkan tidak akan dapat lari dari elemen tokok tambah bagi menyedapkan penceritaan namun rangsangan minat bagi menyeru masyarakat mendalami sejarah adalah lebih utama.

"Saya fikir dengan 'meletupnya' filem mengenai Mat Kilau, ia akan merangsang pihak tertentu untuk buat lebih banyak filem berkonsepkan sedemikian, memandangkan kebiasaannya filem berkaitan tokoh sejarah tidak begitu diminati ramai.

Disiarkan pada: July 2, 2022 @ 4:37pm
d