mutakhir

Mafi jamin bekalan ayam mencukupi [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memberi jaminan akan memastikan bekalan ayam mencukupi dan stabil bagi menampung keperluan rakyat.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan pihak industri untuk melihat perspektif industri secara lebih dekat.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan bekalan serta kelangsungan pengeluaran ayam negara berada pada tahap yang stabil dan mencukupi.

"Di samping itu, pihak kami juga boleh mendapatkan maklumat secara langsung daripada penternak mengenai isu atau permasalahan yang dihadapi.

"Penternak dan pengusaha ladang penternakan ayam menyatakan komitmen untuk bersama-sama memperkukuh sekuriti makanan negara melalui tahap pengoperasian ladang pada tahap yang optimum demi menjamin bekalan ayam yang berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja di ladang penternakan ayam di Kampung Dalam Huma, Labok, di sini, hari ini.

Katanya, pada tahun ini jumlah perbelanjaan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM77.7 bilion dan ia adalah usaha menyeluruh oleh kerajaan untuk memastikan kenaikan kos sara hidup ketika ini dapat ditangani.

"Kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengetahui rakyat sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup bukan sahaja dari segi makanan, malah bahan-bahan keperluan lain yang turut meningkat.

"Jadi untuk makanan, kerajaan memutuskan untuk memberi subsidi kepada beberapa kos input yang menyebabkan kenaikan harga di peringkat runcit dan disebabkan itu harga ayam di negara kita adalah termurah jika dibandingkan dengan negara-negara lain," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2022 @ 4:50pm
d