mutakhir

ILI: Ibu bapa perlu pantau kesihatan anak [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Ibu bapa diminta tidak bimbang terhadap penularan Influenza Like-Illness (ILI) di kalangan pelajar kerana ia masih terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa jabatan berkaitan sentiasa memantau perkembangan penularan wabak dari semasa.

"Ibu dan bapa di luar sana jangan berasa takut untuk menghantar anak ke sekolah. Pemantauan dilakukan sepanjang masa dan keadaan jangkitan ILI di kalangan pelajar ketika ini masih terkawal

"Bagaimanapun ibu bapa pelajar perlu sentiasa mengawasi tahap kesihatan anak-anak terutama pelajar tinggal di asrama. Ibu dan bapa perlu kerap menghubungi mereka untuk mengetahui status kesihatan," katanya ketika hadir merasmikan pembukaan Akademi Bina Insan (ABI) di Taman Ampang Baru di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bagi merancang program untuk memastikan ILI tidak terus merebak dan pencegahan di peringkat awal.

"Pelajar diingatkan sekiranya mempunyai simptom terus memaklumkan segera kepada warga pendidik untuk membuat pengesanan kontak bagi mengenalpasti pelajar yang berkemungkinan dijangkiti wabak berkenaan.

"Guru pula diminta terus menghubungi ibu dan bapa untuk mengambil pelajar sekiranya mempunyai simptom. Kalau dalam kelas nampak pelajar macam demam, lemah, selsema, batuk dan sebagainya terus menghubungi ibu dan bapa untuk mengambil pelajar.

"Kita meminta ibu bapa membawa pulang pelajar berkenaan untuk dikuarantinkan buat sementara waktu bagi mengelak penularan yang mungkin berlaku di kalangan pelajar lain," katanya.

Media melaporkan sehingga hari ini sebanyak 35 kluster ILI direkodkan di Perak.

Disiarkan pada: July 2, 2022 @ 5:46pm
d