mutakhir

Gagal atau tidak MPN, terserah kerajaan - Muhyiddin [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Tanah Merah: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kerajaan untuk menilai sama ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikannya gagal seperti dakwaan individu tertentu atau sebaliknya.

Katanya, MPN tidak mempunyai kuasa eksekutif sebagaimana kementerian atau agensi, sebaliknya majlis berkenaan hanya memberi perkhidmatan nasihat berkaitan langkah perlu diambil dalam Pelan Pemulihan Negara.

Tegasnya, beliau ikhlas menggalas tanggungjawab itu tanpa mengambil sebarang bayaran kerana niat mahu membantu kerajaan.

"Kami badan yang memberi nasihat, jadi nak kata gagal atau tak gagal, kalau kerajaan fikir cadangan kita baik, dia akan teruskan.

"Tetapi saya faham bahawa proses pemulihan tidak mudah. Presiden Umno Datuk Seri Dr Zahidi Hamidi katalah macam gagal dan sebagainya. Macam dulu dia kata kerajaan gagal, hakikatnya kerajaan tidak gagal dan rakyat boleh menilai.

"Apa yang penting bukan orang politik yang kata, tapi rakyat yang menilai. Kalau rakyat kata 'Muhyiddin kau berhenti', saya berhentilah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Peringkat Kelantan.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid mendakwa penubuhan MPN yang sejak awal tidak membuahkan hasil dan hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan sahaja, selain menyarankan ia dibubarkan.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sebarang cadangan yang diusulkan MPN adalah mengikut dasar kerajaan sedia ada.

"Kalau ada perkara baru yang mahu disegerakan, contohnya waktu kita nak buat keputusan untuk buka sempadan negara, jadi apa yang diputuskan oleh MPN, sempadan dibuka awal Januari disebabkan faktor ekonomi, namun kerajaan menangguhkan sehingga April.

"Tetapi usul itu sudah datang daripada kita, kenapa kita minta segerakan kerana selagi kita tutup sempadan, bermakna ekonomi kita tidak akan berkembang," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2022 @ 5:55pm
d