mutakhir

Warga emas maut memandu lawan arus

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Lelaki warga emas maut selepas dipercayai memandu secara melawan dan terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 32.8 Lebuhraya Persekutuan arah Klang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.45 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan kemalangan membabitkan Proton Wira dan Honda City pada 2.08 pagi.

"Siasatan awal mendapati mangsa memandu Proton Wira secara melawan arus lalu bertembung dengan Honda City.

"Akibat pertembungan itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mohamad Fakhrudin meminta orang ramai yang melihat kejadian atau berada di lokasi supaya menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor R Navalan di talian 014-2536820.

Disiarkan pada: July 4, 2022 @ 11:04am
d