mutakhir

UTHM sasar peruntuk RM2 juta bantu pelajar terkesan inflasi

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) menyasarkan peruntukan RM2 juta bagi bantuan kepada pelajar yang berkeperluan akibat kesan kenaikan harga barang ketika ini.

Naib Canselor UTHM Profesor Dr Ruzairi Abdul Rahim berkata, pihaknya dalam usaha membantu meringankan beban pelajar melalui beberapa pemberian insentif bantuan yang disediakan oleh pihak universiti di bawah Kluster UTHM Prihatin.

"Antara bantuan disediakan adalah Program Sabil Al-Hikmah, Program Food@Campus, Food Bank Siswa di setiap Kolej Kediaman, program 'Nasi Bajet,' bantuan zakat, bantuan 'Dana Ihsan,' serta pelan data dan alat peranti.

"Sehingga Jun lalu, pihak universiti telah membelanjakan melebihi RM1 juta khusus kepada pelajar berkeperluan. Dengan pemberian bantuan itu, UTHM berharap dapat membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus," katanya dalam kenyataan.

Ruzairi berkata, seperti yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan baru-baru ini, UTHM juga bersetuju melaksanakan moratorium bayaran sewaan selama enam bulan mulai Julai 2022 kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus.

Disiarkan pada: July 5, 2022 @ 4:46pm
d