mutakhir

Remaja disamun di dalam lif

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Remaja lelaki berdepan detik cemas apabila disamun penjenayah bersenjatakan pisau di dalam lif di sebuah apartmen di Desa Aman Puri, Desa Jaya, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial yang memaparkan kejadian samun di dalam sebuah lif jam 6.30 petang tadi

"Kami ada menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 17 tahun iaitu mangsa dalam kejadian itu yang berlaku jam 12.40 tengah malam, Isnin lalu di dalam sebuah lif di apartmen berkenaan.

"Suspek bersenjatakan pisau melakukan rompakan ke atas mangsa dan memaksanya menyerahkan barang berharga.

"Dalam kejadian itu, mangsa hanya mengalami kerugian sebuah telefon bimbit dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan.

"Usaha mengesan dan menahan suspek masih diteruskan. Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ishak Abu Bakar di talian 03-61262222/011-39032329," katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2022 @ 9:48pm
d