mutakhir

Tiada pecahan takungan air - Muhammad Sanusi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Baling: Sumber air yang terkumpul terlalu banyak di Gunung Inas sebelum mengalir laju melalui puluhan cerun dan ke Sungai Kupang dipercayai menjadi punca bencana banjir dan kepala air di Baling pada petang Isnin lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan tinjauan udara beliau yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada pecahan takungan air berlaku seperti yang dikatakan menjadi penyebab kepada fenomena kepala air berkenaan.

"Buat masa ini, itu kesimpulan yang boleh diberi hasil tinjauan melalui udara di kawasan aliran air di Gunung Inas sehingga ke kawasan tanaman Musang King yang dikatakan menjadi punca kepada kejadian berkenaan.

"Pemerhatian mata kasar dari udara, saya dapati air terkumpul begitu banyak dalam satu masa dan terdapat berpuluh-puluh lorong yang terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun yang sangat curam dan menyebabkan air bergerak begitu laju di Lata Celak ini dalam tempoh serentak," katanya di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, menerusi tinjauan menaiki helikopter itu semalam, beliau dapat meninjau kawasan bencana dan melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas sehingga ke kawasan bencana dan Pekan Kupang.

Katanya, takungan yang dibina di kawasan Musang King, masih ada dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam berkenaan juga masih wujud di sana.

"Tiada pecahan, rekahan atau jatuhan tebing berlaku. Menariknya juga, sepanjang aliran air itu pokok-pokok besar masih ada iaitu pokok yang tidak ditebang sewaktu kawasan ini dicerahkan untuk dibangunkan ladang hutan.

"Jadi kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun yang curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir di Sungai Kupang," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Isnin lalu, bencana banjir dan kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban, dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selain 15 rumah musnah dihanyutkan air.

Sanusi berkata, kerajaan negeri dan agensi berkaitan sedang membantu menyediakan penempatan baharu untuk mereka yang mengalami kerosakan dan kehilangan rumah.

Disiarkan pada: July 7, 2022 @ 8:48am
d