mutakhir

UPNM cakna kebajikan penuntut

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkenalkan beberapa inisiatif utama melalui program UPNM Prihatin bagi membantu meringankan beban dan tanda cakna terhadap penuntutnya dalam menangani isu kenaikan harga dan kos sara hidup semasa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM, Prof Dr Mohd Zu Azhan Yahya berkata, langkah itu bagi mendokong aspirasi KPT Prihatin dalam memastikan kebajikan penuntut sentiasa terbela.

Menurutnya, antara inisiatif utama yang diambil adalah memperkenalkan menu Keluarga Malaysia di semua kafeteria UPNM dengan harga serendah RM3.50.

"Di samping itu, UPNM turut bekerjasama dengan agensi luar dalam penyediaan bantuan makanan kering secara percuma untuk dimasak oleh pengusaha kafeteria bagi membekalkan makanan percuma kepada penuntut.

"Inisiatif lain adalah mewujudkan sistem pemantauan kawalan harga serta kualiti makanan yang disediakan oleh kafetaria dalam kampus.

"Selain itu, moratorium sewaan selama enam bulan diberikan kepada pengusaha kafetaria, jalinan kolaborasi bersama Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) melalui pemberian diskaun harga barangan di kedai Pernama UPNM dan penyediaan shuttle kenderaan untuk memudahkan pergerakan penuntut keluar dan masuk kampus bagi membeli barangan keperluan di pusat bandar," katanya dalam kenyataan, di sini.

Mohd Zu Azhan berkata, UPNM turut memperkenalkan program Bantuan Makanan Sejahtera iaitu kupon makan sejak 2019 bagi membantu meringankan beban penuntut dari golongan berkeperluan B40 dengan perbelanjaan berjumlah RM1.8 juta.

"Selain bantuan makanan, UPNM juga menyediakan beberapa inisiatif lain kepada penuntut berkeperluan antaranya melaksanakan pengurangan serta kaedah pembayaran yuran lebih fleksibel untuk mengurangkan beban kos sara hidup.

"Bantuan lain adalah pemberian barangan kering kepada penuntut di dalam dan luar kampus melalui program Food Bank, bantuan kewangan kepada penuntut berkeperluan, pemberian komputer riba, zakat UPNM, pelan data, program Bantuan Khas Bencana serta program UPNM-Care yang menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada penuntut di kampus," katanya.

Katanya, lebih 2,000 penuntut UPNM menerima manfaat daripada inisiatif itu yang mendapatkan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Disiarkan pada: July 7, 2022 @ 3:22pm
d