mutakhir

2 pengasas produk antara 6 individu ditahan bergaduh

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Dua pengasas produk wanita antara enam individu ditahan polis dipercayai akibat menyerang dan memukul seorang peniaga di Jalan Padang Garong, di sini, awal pagi semalam.

Kesemua mereka berusia 20 hingga 45 tahun ditahan selepas beberapa jam terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

Selain pengasas produk, mereka yang ditahan adalah dua lelaki yang juga masing-masing suami kepada pengasas produk dan dua rakan mereka yang turut terbabit dalam pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian 3 pagi semalam, seorang peniaga wanita berusia 19 tahun didatangi enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga perempuan yang menyerang serta memukul mangsa.

"Ketika kejadian, mangsa berada di premis perniagaan miliknya di Jalan Padang Garong sebelum didatangi sekumpulan individu yang menaiki dua kereta.

"Bapa mangsa yang berada di lokasi kejadian berusaha melindungi anaknya turut diserang serta dimaki hamun oleh sekumpulan suspek berkenaan.

"Berdasarkan keterangan saksi dan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak polis setakat ini menangkap tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 45 tahun.

"Kesemuanya mereka adalah peniaga berkaitan produk kecantikan dan seorang lelaki mempunyai rekod jenayah lampau," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada enam suspek yang ditahan, tiga wanita sudah dibebaskan dengan jaminan polis semalam dan hari ini.

"Manakala tiga lelaki ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan 323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan," katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2022 @ 6:16pm
d