mutakhir

Gagal seleweng 15,000 liter diesel

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebuah stor dijadikan lokasi penyelewengan diesel bersubsidi di Jalan Jambu, Kampung Baru Sungai Nipah, Port Dickson, dekat sini, diserbu petang tadi.

Hasil serbuan 1.15 petang itu, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menemukan kira-kira 15,000 liter diesel di dalam dua lori tangki.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan Abd Muis Samsudin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dijalankan selama seminggu oleh KPDNHEP Negeri Sembilan.

"Semakan mendapati premis diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.

"Stor berkenaan sudah beroperasi sebagai tempat penyimpanan sekitar enam bulan. Tiada individu yang bertanggungjawab ditemukan di tempat kejadian ketika serbuan dijalankan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, diesel yang diseleweng sudah dirampas, selain dua lori tangki dan peralatan digunakan untuk kerja pemindahan diesel disita dengan anggaran nilai rampasan RM92,250.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20 (1) akta yang sama.

Disiarkan pada: July 12, 2022 @ 6:33pm
d