mutakhir

DOKU umum pengambilalihan senangPay

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: DOKU, penyedia penyelesaian pembayaran elektronik milik Indonesia, mengumumkan pengambilalihan senangPay, gerbang pembayaran dalam talian di Malaysia.

Berikutan pengambilalihan itu, senangPay menerima pembiayaan berjumlah AS$7.5 juta (RM33.2 juta).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Operasi DOKU Nabilah Alsagoff berkata pengambilalihan itu menandakan permulaan pengembangan DOKU di luar negara dan usahanya untuk menjangkau segmen perniagaan yang lebih luas, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana.

"Sebagai penyedia penyelesaian pembayaran terkemuka di Indonesia dengan rangkaian terluas produk pembayaran dalam talian dan luar talian untuk lebih 150,000 peniaga, kami berharap dapat menawarkan produk inovatif kami kepada perniagaan yang serupa di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif senangPay Mansor Abd Rahman percaya bahawa pengambilalihan itu bermanfaat dan penting untuk pertumbuhan syarikat.

senangPay diuruskan oleh Simplepay Gateway Sdn Bhd dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia sebagai penyedia Perkhidmatan Pemerolehan Pedagang.

Melalui pengambilalihan itu, senangPay merancang untuk memperkukuh dan mengembangkan perkhidmatannya melangkaui gerbang pembayaran dalam talian, mengguna pakai perkhidmatan baharu seperti e-dompet, pengiriman wang dan transaksi luar talian seperti Tap On Glass dan M2M (mudah alih ke mudah alih).

"Dengan tawaran baharu ini, senangPay akan membolehkan peralihan pedagangnya daripada model konvensional kepada era digital, sejajar dengan inisiatif 'Malaysia Digital' oleh kerajaan," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2022 @ 8:41pm
d