mutakhir

Anak ahli politik dipenjara 12 bulan jual jam tangan curi

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang juga anak kepada ahli politik di Sabah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menjual jam tangan mewah yang dicuri.

Majistret Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu terhadap Datu Anwar Datu Amirkahar, 43, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Datu Anwar dituduh dengan sengaja melupuskan seutas jam tangan Rolex White milik ibunya di sebuah kedai di Sinsuran, di sini pada jam 2.30 petang, 29 Mei lalu.

Berikutan itu, Datu Anwar didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga ibu tertuduh mendakwa barang yang diletakkan di dalam peti besi rumahnya di Sutera Residency, di sini, hilang ketika diperiksa pada jam 6 petang, 3 Jun lalu.

Berikutan itu, siasatan lanjut dilakukan dan tertuduh dipercayai sudah menjual jam tangan terbabit di sebuah kedai emas di Sinsuran, di sini, dengan harga RM9,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Albert Basiri, manakala tertuduh yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: July 14, 2022 @ 11:18pm
d