mutakhir

Kerajaan perkenal i-Miliki, pengecualian duti setem sehingga 100 peratus [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara tier harga rumah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif dikenali pemilikan perumahan Keluarga Malaysia (i-Miliki) bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus.

"Selain itu, bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.

"Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Jom Beli Rumah dengan kerjasama strategik antara Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Media Prima Berhad dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Syed Hussian Al-Junid dan Pemangku Presiden Rehda Datuk NK Tong.

Ismail Sabri berkata, usaha kerjasama strategik KPKT dengan Rehda dan Media Prima Berhad bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan sasaran B40 dan M40, iaitu Jelajah Karnival Jom Beli Rumah 2022.

"Saya bersetuju dengan pendekatan Karnival Jom Beli Rumah ini yang akan diadakan di seluruh negara dengan membawa mesej dan inisiatif kerajaan termasuklah kerajaan negeri khususnya dalam soal perumahan.

"Saya juga sedar kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi namun kita perlu terus membantu rakyat dengan memperkasakan agenda pemilikan kediaman melalui lebih inisiatif tersusun yang dirangka oleh KPKT," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut memutuskan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) diaktifkan semula selepas menyedari menduduki dan memiliki rumah adalah satu daripada keperluan rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup.

"MPMMN ini melihat keperluan rumah mampu milik di seluruh negara dengan turut membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pemaju swasta, Bank Negara Malaysia serta badan berkepentingan seperti Khazanah, Rehda dan Persatuan Pembeli Rumah (HBA).

"Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kita mensasarkan untuk menyediakan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik, satu usaha yang boleh direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak," katanya.

Menurutnya, untuk merealisasikan hasrat itu seperti diputuskan dalam mesyuarat MPMMN, kerajaan persekutuan akan memberi subsidi dan kerajaan negeri pula menyediakan tanah, manakala pihak bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual atau dibeli dengan harga yang berpatutan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada KPKT kerana memperkenalkan Program Pemilikan Kediaman atau lebih dikenali sebagai Home Ownership Program (HOPE) yang akan saya lancarkan hari ini selaras dengan gagasan 'Satu Keluarga Satu Rumah'.

"HOPE bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

"Dalam hal ini, komitmen kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta," katanya.

Menurutnya, isu pemilikan rumah juga harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan.

"Justeru itu, saya cukup gembira apabila Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.

"Saya juga dimaklumkan satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya sedang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan kepada Keluarga Malaysia mengenai harga rumah mampu milik di seluruh negara," katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.

"Menjadi harapan saya supaya lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada Usia Muda.

"Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Menurutnya, kerajaan melakukan pelbagai cara untuk memudahkan pemilikan rumah kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti pemberian insentif pengecualian cukai duti setem bagi perjanjian pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman.

"Insentif berkenaan yang mula diperkenalkan sejak Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign atau HOC) yang dimulakan pada 2019 hingga 2021, masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025.

"Meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun saya ingin menegaskan tindakan ini adalah komitmen kita kepada Keluarga Malaysia dan kerajaan harus memperkukuhkannya.

"Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta manakala tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah," katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2022 @ 5:04pm
d