mutakhir

Galakkan amalan gaya hidup sihat lebih awal

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kaitan di antara tingkah laku manusia dalam menyesuaikan diri dengan perubahan alam bagi memenuhi keperluan hidup semakin mencabar.

Ini terutama selepas pandemik Covid-19 yang memberi impak kepada kualiti hidup dan kesejahteraan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Ksihatan Keluarga) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, berdasarkan kajian morbiditi kebangsaan 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berlaku peningkatan kejadian kes penyakit kronik.

Katanya, antara kes dilaporkan meningkat seperti hipertensi, diabetes melitus, kanser, serangan jantung dan strok serta beberapa penyakit lain.

"KKM menguar-uarkan keperluan untuk melakukan saringan kesihatan dalam kalangan warga dewasa 40 tahun ke atas yang mana dilaporkan tidak mencapai sasaran.

"Sekadar melakukan saringan belum mencukupi untuk kekal sihat dan boleh menghidari penyakit.

"Setiap individu perlu mengutamakan untuk mengamalkan gaya hidup sihat setiap hari dengan beriadah, membuat pergerakan fizikal, berkomunikasi sosial bagi mengurangkan tekanan mental serta mengamalkan makanan sihat yang bersederhana selain tidur yang berkualiti untuk merehat badan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung kesedaran rakyat mengenai kepentingan saringan kesihatan yang masih rendah.

Khairy dilaporkan berkata, 53 peratus rakyat Malaysia tidak saring kesihatan sejak setahun lalu.

Mengulas lanjut, Dr Rosnah berkata, ramai tidak menganggapkan masa yang perlu diluangkan untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga adalah perkara utama selain mencari nafkah serta mengejar kerjaya hidup yang sangat diutamakan.

"Banyak risiko penyakit berpunca daripada amalan rehat yang tidak cukup untuk memulihkan sistem imuniti badan, makan seimbang yang sederhana untuk memperbaiki sel badan dan berinteraksi sosial bagi menyihatkan minda.

"Keperluan untuk mencari maklumat kesihatan sangat meluas di laman Internet dan media sosial.

"Namun setiap individu perlu mendapatkan maklumat sahih yang boleh membantu diri ke arah mempraktis amalan sihat," katanya.

Menurutnya, ramai penyelidik universiti dan agensi bekerjasama untuk mengwujudkan sistem pintar dalam bentuk aplikasi bagi membantu individu mendapatkan maklumat saringan kesihatan, berkaitan penyakit dan rawatan.

Beliau berkata, UKM turut bekerjasama dengan syarikat Mesiniaga Sdn Bhd dengan menghasilkan MYMOMS Apps untuk pemantauan kesihatan ibu dan anak serta memberikan maklumat khusus berdasarkan keperluan saringan yang diperlukan.

"Selain itu, UKM bersama UCREST Bhd juga merancang menyediakan platform untuk memperkasakan warga emas untuk pemantauan kesihatan melalui latihan kemahiran kepada penjaga warga emas dalam komuniti agar mengamalkan saringan kesihatan ke arah penuaan yang sihat.

"Saringan kesihatan yang disediakan oleh KKM dan bantuan B40 melalui PEKA40 perlu diusahakan agar sampai ke sasaran yang ditetapkan melalui promosi kesihatan bersama komuniti setempat," katanya.

Dr Rosnah berkata, apa pun warga muda perlu dilatih lebih awal untuk menghindari risiko penyakit dengan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Disiarkan pada: July 18, 2022 @ 1:27pm
d