mutakhir

Ops Hire: Pengarah syarikat direman empat hari

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Lelaki berusia 41 tahun ditahan reman selepas Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Seorang lagi suspek wanita berusia 40 tahun dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Media sebelum ini melaporkan dua lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya. Mereka ditahan di Kuala Lumpur jam 1.30 tengah hari semalam.

Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan invois Program Latihan Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butiran matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperoleh bayaran di bawah peruntukan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah kira-kira RM700,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Pada 14 Julai lalu, SPRM  menahan 37 individu di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu itu dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.

Setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire adalah seramai 42 individu.

Disiarkan pada: July 18, 2022 @ 5:43pm
d