mutakhir

Keluarga pemilik Crackhouse Comedy Club terima ugutan bunuh

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis menerima laporan yang mendakwa keluarga pemilik kelab komedi menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan polis dibuat pemilik syarikat Mycomedy Sdn Bhd semalam.

"Polis mengesahkan laporan yang dibuat, ugutan diterima oleh isteri pemilik kelab berkenaan dari seorang lelaki tidak dikenali.

"Ugutan yang diterima mempunyai kaitan dengan kejadian simbahan cat di premis terbabit," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Semalam, media melaporkan kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) disimbah cat berwarna merah dan hitam.

Kejadian itu disedari selepas pihak polis menerima panggilan berhubung insiden berkenaan daripada orang awam pada jam 7 pagi.

Pada 14 Julai lalu, polis menahan pengasas bersama kelab komedi berkenaan bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang wanita menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi berdiri di kelab itu.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di sebuah lokasi di ibu negara.

Disiarkan pada: July 20, 2022 @ 4:49pm
d