mutakhir

Seludup dadah guna bas ekspres

Oleh Melvin Joni

Kuching: Pengedar dadah dikesan menggunakan khidmat bas ekspres bagi mendapatkan bekalan dadah.

Kegiatan itu dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi tangkapan dan dua sitaan berasingan di Terminal Bas Kuching Sentral, Jalan Penrissen di sini.

Pengarah Kastam Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin berkata tangkapan pertama dilakukan pada 14 Julai lalu, kira-kira jam 1.50 petang membabitkan seorang lelaki tempatan berumur awal 30-an yang menuntut sebuah bungkusan dari kaunter sebuah syarikat bas di situ.

Menurutnya, bungkusan itu dihantar dari Sibu dan suspek disyaki sudah beberapa kali membuat tuntutan bungkusan di terminal bas itu.

"Modus operandi menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar untuk mengedar dadah masuk ke bandar raya Kuching.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas bungkusan berkenaan membawa kepada penemuan empat peket lutsinar yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 1.024 kilogram yang dianggarkan bernilai RM38,400.

"Dadah dibungkus menggunakan paket kuantiti kecil dan sederhana dipercayai bagi memenuhi permintaan di pasaran sekitar bandar raya Kuching dan Samarahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata lelaki tersebut sudah ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata pada 15 Julai lalu, kira-kira jam 7.30 malam, anggota Cawangan Narkotik, JKDM Kuching melakukan sitaan ke atas bungkusan yang mengandungi 100 peket yang mengandungi serbuk disyaki campuran dadah jenis ketamin yang dianggarkan seberat 3.2 kilogram dengan nilai RM189,000.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bungkusan itu dihantar dari bandar raya Miri ke Kuching dan berdasarkan maklumat pengiriman, didapati tertera nama individu berserta dengan nombor telefon individu pengirim dan penerima.

Justeru, katanya JKDM Sarawak mengesan individu pengirim di Miri dan juga penerima di Kuching, yang dipercayai masih berada di Sarawak untuk membantu siasatan.

Disiarkan pada: July 20, 2022 @ 8:23pm
d