mutakhir

11 anggota polis positif dadah [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seramai 11 anggota polis didapati positif dadah selepas gagal dalam ujian awal saringan air kencing yang dijalankan kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ujian yang dilakukan secara rambang itu mengesan seramai sembilan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala dua lagi positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).

"Seramai 31 anggota dari ibu pejabat polis daerah (IPD) pertama diambil urin secara rambang dan sembilan orang daripadanya didapati positif dadah.

"Seramai 25 orang lagi anggota dari IPD kedua diambil urin secara rambang dan dua orang daripadanya didapati positif dadah," katanya mengesahkan ketika dihubungi, malam tadi.

Mior Faridalathrash berkata, mereka terdiri daripada lans koperal hingga koperal yang berusia antara 35 hingga 51 tahun.

"Kesemua tangkapan sudah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

"Hanya seorang daripada anggota yang ditangkap pernah ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun ia adalah ujian saringan awal terhadap anggota berkenaan.

"Selepas kita hantar urin ini untuk ujian patalogi dan jika mereka disahkan masih lagi positif dengan dadah tertentu, kita bercadang untuk tuduh (mereka) di mahkamah," katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Kempen Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'Awie Tour' 2022 Peringkat Kontinjen Perak di Aeon Kinta City di sini.

Disiarkan pada: July 22, 2022 @ 8:36am
d