mutakhir

Diseksa kerana enggan makan nasi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dipukul menggunakan penyangkut baju, penyapu selain dicucuh dengan pemetik api.

Itu tindakan kejam suami isteri yang mencederakan anak angkat mereka berusia empat tahun hanya kerana enggan makan nasi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki pada 12.40 tengah malam.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 18 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Perumahan di Beranang. Mangsa adalah anak angkat kepada suami isteri itu yang dicederakan atau didera pasangan terbabit.

"Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi. Suspek memaksa mangsa menelan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hyper-aktif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal mendapati, kanak-kanak malang itu adalah anak kepada warganegara Indonesia.

"Kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri. Mangsa diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April lalu kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.

"Mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan. Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan," katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah menahan pasangan suami isteri berusia 28 dan 30-an itu hari ini.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor K Suresh ditalian 017-433 3795,"katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita memukul kanak-kanak menggunakan penyapu.

Kanak-kanak terbabit juga didapati mengalami lebam di bahagian badan.

Disiarkan pada: July 22, 2022 @ 12:12pm
d