mutakhir

Stigma negatif menopaus beri kesan kepada wanita

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Menopaus bukan isu biasa yang boleh dibincangkan secara terbuka berikutan stigma dan impak negatifnya, sehingga menyukarkan golongan wanita memasuki fasa baharu dalam kehidupan sekali gus mendapatkan bantuan.

Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan pada Julai 2021, purata jangka hayat wanita adalah selama 78 tahun.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Premitha Damodaran berkata, dengan purata usia menopaus dalam negara sekitar 50 tahun, pihaknya melihat golongan wanita akan menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan mereka tanpa hormon estrogen sekali gus mengurangkan tahap kesuburan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) berkata, kebimbangan itu tidak hanya berkaitan masalah kesuburan, malah mereka berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan dari segi fizikal, sosial, psikologi, seksual dan mental.

"Wanita yang mengalami menopaus lazimnya berisiko tinggi mengalami penyakit jantung koronari, osteoporosis, kanser dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi.

"Ini akan memberi cabaran kepada mereka menjalani kehidupan mendatang. Malah, masalah sosio ekonomi dan keluarga berkemungkinan berlaku pada masa sama.

"Persaraan yang memberi kesan kepada kewangan serta perubahan tumpuan peranan menjaga ibu bapa yang berusia apabila anak mereka sudah dewasa juga memberi kesan kepada perubahan hormon wanita," katanya dalam Pelancaran Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dr Premitha berkata, uniknya garis panduan amalan klinikal ini dihasilkan dengan pendekatan wanita berbilang etnik di Malaysia.

"Walaupun kami menerima pakai garis panduan daripada beberapa organisasi antarabangsa, kami mempertimbangkan aspek agama kerana memahami peranan dimainkan agama dalam masyarakat kita.

"Setiap wanita yang mengalami menopaus tidak seharusnya berasa malu atau keberatan untuk mendapatkan bantuan daripada kakitangan profesional," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, dia amat berbangga dengan usaha yang diambil untuk mewujudkan garis panduan amalan klinikal bagi pengurusan menopaus di Malaysia.

"Ia sememangnya satu pencapaian bersejarah dalam landskap kesihatan Malaysia. Sebagai salah satu perintis dalam pengurusan garis panduan menopaus di Asia Tenggara, Malaysia membuktikan komitmennya untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan," katanya ketika berucap menerusi sidang video dalam majlis itu, hari ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan berhasrat untuk menyokong inisiatif dengan memacu usaha meningkatkan kesedaran mengenai menopaus.

"Menopaus bukan satu isu jelek atau bahan jenaka, sebaliknya kita menggalakkan dan memperkasa orang ramai di negara ini untuk bercakap mengenai perkara ini dengan lebih terbuka dan terhormat kerana kita faham wanita akan terus memainkan peranan utama masyarakat tanpa mengira usia.

"Oleh itu kita mesti memberi sokongan yang mereka perlukan sebagai sebahagian daripada inisiatif Keluarga Malaysia untuk mewujudkan Malaysia yang lebih berkepelbagaian dan keterangkuman.

"Garis panduan amalan klinikal mengenai pengurusan menopaus boleh didapati menerusi pelbagai platform termasuk Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia dan Persatuan Menopaus Malaysia," katanya.

Katanya, garis panduan itu juga boleh diakses menerusi Android dan iOS di bawah aplikasi Bahagian Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS) KKM.

"Ini merangkumi pelbagai maklumat mengenai gejala menopaus, penilaian dan pemeriksaan klinikal, pilihan rawatan dan kesannya serta perspektif agama mengenai menopaus," katanya.

Disiarkan pada: July 22, 2022 @ 3:37pm
d