mutakhir

Shahril terima RM1.16 juta daripada UKSB

Oleh Faris Fuad

Shah Alam: Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, syarikat itu memberi sumbangan dana RM1.16 juta kepada Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan untuk tujuan politik dan Pilihan Raya Umum (PRU), ketika perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Hamidi Mohd Noh;

David Tan Siong Sun, 47, yang juga saksi pendakwaan ke-17 berkata, sumbangan diberikan secara bulanan kepada Shahril merujuk kepada kod nama 'S Pat' dalam buku lejar syarikat berkenaan.

Hamidi: Shahril adalah rakan baik kepada (bekas Pengarah UKSB dan ahli Umno), Wan Quoris (Shah Wan Abdul Ghani) dan (bekas Ketua Pemuda Umno), KJ (Khairy Jamaluddin).

Siong Sun: Betul.

Hamidi: Shahril diberikan sumbangan itu kerana beliau baik dengan mereka?

Siong Sun: Ya.

Pada 13 Jun lalu, Wan Quoris Shah mengesahkan bahawa syarikatnya memberi sumbangan dana politik antara RM50,000 hingga RM200,000 kepada Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

Wang untuk tujuan bantuan politik, bencana dan aktiviti kemanusiaan itu tidak diserahkan secara terus kepada Khairy, sebaliknya diberikan menerusi Umno Bahagian Rembau di mana Khairy adalah Timbalan Ketua Umno di bahagian terbabit.

Pada 18 Mei lalu, bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun mengesahkan syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam mata wang dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bayaran itu bermula akhir 2014 dengan SG$200,000 sebulan, sebelum meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong; Siong Sun berpendapat tiada keperluan untuk membuat laporan polis selepas beberapa ahli politik mengeluarkan kenyataan menafikan pernah menerima sumbangan dana politik daripada UKSB.

"Wang (sumbangan) itu pun kita sudah beri dan perbicaraan kes sedang berlangsung, tiada keperluan (buat laporan polis)," katanya.

Pada 17 Jun lalu, bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan pernah menerima RM1.3 juta daripada UKSB antara Jun sehingga Ogos 2018, selain menyifatkan perkara itu tidak berasas kerana dalam tempoh itu beliau menjalani pembedahan kanser sebelum mengambil cuti beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

Lima hari selepas itu, seorang lagi bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan tidak mengetahui mengenai apa-apa sumbangan dana politik atau wang daripada UKSB, serta menegaskan sedia dipanggil pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

Disiarkan pada: July 25, 2022 @ 1:55pm
d